KUCHING: Kementerian Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melaksanakan tujuh insentif bantuan kewangan melalui pakej bantuan secara konsisten sejak tercetus pandemik Covid-19.
Insentif itu ialah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020, Pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia 2021 (PERMAI), Pakej Belanjawan 2021, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) 2021, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) 2021, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) 2021 dan Geran Khas Perihatin 2021.
Menterinya, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, bantuan itu membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM61 juta.
“Ia diberikan secara berperingkat dan ada yang telah selesai dan sebahagian lagi masih dalam urusan pembayaran,” katanya pada majlis Penyampaian Bantuan
Kewangan Kepada Penggiat Industri Pelancongan di sini, malam tadi.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Nancy menjelaskan, sebanyak lima segmen pelancongan dikawal selia oleh MOTAC menerima manfaat bantuan kewangan dan bukan kewangan iaitu Pemandu Pelancong, Pengusahaan Pelancongan, Program Malaysia Rumah Kedua ku (MM2H), SPA dan Pusat Urut Kaki serta Program Pengalaman Homestay Malaysia yang telah berdaftar dengan MOTAC.
“Kerajaan juga bersetuju memperluaskan bantuan kewangan PEMULIH kepada Syarikat MM2H yang berlesen dengan MOTAC. Bantuan kewangan ini merupakan kali kedua kepada Syarikat MM2H yang mana MOTAC melalui Inisiatif PEMERKASA telah memberikan bantuan kewangan RM3,000 kepada syarikat MM2H yang layak,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti